11 July, 2016

Assalamualaikum..Selamat Hari Raya

Jadi telah tiga tahun saya meninggalkan penulisan di blog ini. Pernah ada ketika timbul hasrat untuk tutup sahaja. Yang mengekang niat itu sekarang adalah kenangan yang ada di dalamnya. Setiap entry yang saya buat bukan sekadar meninggalkan kenangan pada tajuk dan isi kandungan posting itu sahaja tetapi juga kenangan pada situasi dan perasaan peribadi semasa menulisnya. Saya masih hargai dan perlukan kenangan-kenangan itu dalam hidup saya sekarang.

Banyak perkara, in fact terlalu banyak perkara yang berlaku dalam tempoh tiga tahun ini. Dari kehidupan peribadi, kepada kerjaya, kepada rakan-rakan, kepada keluarga. Entah di mana saya patut bermula semula.

Mungkin perlu dimulakan dengan keluarga kecil saya. Alhamdulillah rasa seperti keluarga kecil kami telah lengkap. Azfar kini punya adik perempuan, Afreena namanya yang bermaksud putih kemerah-merahan. Allah lewatkan rezeki kami dengan anak kedua ini. Namun kali ini saya betul-betul faham dengan perancangan Allah. Kalau sebelum ini hati saya penuh harapan, penuh soalan, penuh rintihan tapi bila amanah kedua ini tiba, terasa tepat sangat masanya.
 
Namun, mungkin kerana kehidupan kami tiga beranak sebelum ini telah menjadi begitu selesa sehinggakan bila Afreena tiba, agak kelam kabut juga jadinya kami suami isteri. Afreena lahir pada Disember, mana dengan hendak belajar semula segalanya tentang baby, dengan Azfar yang akan masuk ke darjah 1. Rutin biasa kami boleh dikatakan hampir keseluruhannya berubah. Walau telah 7 bulan kini, saya masih struggle dalam penyesuaian sebagai ibu yang ada seorang baby dan seorang anak darjah 1. Mujur juga Afreena so far seorang baby yang mudah dijaga.
 
Betul kata orang, lain anak lain kerenah walau sejak dalam kandungan lagi. Masa Azfar dulu, perjalanan mengandungkannya sangat-sangat mudah, tiada morning sickness, tiada masalah. Bersalin sahaja terpaksa emergency caesarean sebab fetal distress dan dia keluar dengan berat 1.78kg sahaja. Bahagian nak membesarkan dia agak berliku-liku sikit. First time parent mungkin.
 
Afreena pula, berliku-liku perjalanan mengandungkannya. Bacaan Hb memanjang rendah, sakit pinggang bagai tetapi berjaya bersalin melalui kaedah normal. Dan menjaga seorang baby bernama Afreena juga Alhamdulillah setakat ini agak mudah. Mungkin sebab sudah ada pengalaman.

Kalau dulu semasa masih anak seorang, faham la juga bila orang sibuk suruh tambah. Raya kali ini bawa dua orang dengan si adik baru tujuh bulan, pun ada juga lagi yang suruh cepat tambah.
 
Kalau dah jenis tak penat mengatur hidup orang lain..
 
 
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.
 





LinkWithin

Related Posts with Thumbnails