Kali ini betul-betul lama saya tinggalkan blog tanpa sebarang berita atau perkembangan. Banyak perkara yang berlaku sepanjang lima bulan ini. Tentang kerja saya, keluarga kecil saya, keluarga besar saya, tentang diri saya..
Secara ringkasnya, saya bersyukur dengan perkembangan kerjaya. Alhamdulillah diberi ruang dan peluang oleh Allah kepada saya dalam soal ini. Syukur. Namun dengan peluang ini juga datang bersama tanggungjawab yang bukan kecil. Yang kadang kala terasa seolah saya masih belum bersedia. Atau memang saya masih belum bersedia. Masih mencari kekuatan menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebesar ini. Jujurnya saya belum jumpa apa yang saya cari. Saya gusar kerana tempoh pencarian saya ini semakin hari semakin membawa bersama semangat diri. Saki baki semangat yang sedikit yang tinggal ini buat saya kadang kala rasa sesak nafas.
Keluarga kecil saya masih sama. Masih kecil ^_^ Belum diberikan rezeki membesarkan keluarga yang kecil ini. Tapi saya masih bersyukur. Allah lebih mengetahui perancangan terbaikNya buat keluarga kami. Kami suami isteri masih berbesar hati, bersenang hati bersama membesarkan satu-satunya cinta hati kami buat masa ini.
Ragam yang seorang ini selalu saja menggembirakan hati kami. Alhamdulillah. Walau kadang kala tegang juga anak tekak melayan kerenahnya yang bukan sedikit. Maklum saja hampir empat tahun ini cuma dia seorang yang diuli kami, manjanya bukan sikit. Sangat manja! Kadang kala buat kami risau juga dengannya yang masih belum berdikari. Namun, saya masih bersyukur dengan peluang menjadi seorang ibu. Setiap masa saya cuba mengingatkan diri untuk menjadi ibu yang boleh dibanggakan oleh anak sendiri. Menjadi ibu kalau bukan yang terbaik di dunia, cukuplah sekadar yang terbaik pada pandangan dan perasaan anak(-anak) saya. Kebelakangan ini rasa sedih pula dengan berita anak derhaka dalam dunia hiburan negara kita. Saya pasti saya tidak berhak menilai kerana saya tidak tahu apa yang terjadi dalam keluarga mereka, namun perasaan keibuan saya buat terpalit juga rasa sedih di hati bila mengikuti cerita itu. Saya doakan yang terbaik buat mereka sekeluarga. Redha Allah pada redha seorang ibu; carilah redha ibu walau dengan apa cara sekalipun..
Keluarga besar saya, insyaAllah akan bertambah besar sikit hujung tahun ini. Adik lelaki saya sudah bertunang baru-baru ni. Anak saya bakal dapat makngah ^_^ Semoga perancangan kedua-dua keluarga diberkati Allah. Adik saya yang seorang ni memang unik sikit. Seingat dan setahu saya, dia tak pernah bercinta sepanjang hidupnya. Tunang dia yang ini pun, mak abah saya yang carikan. First date pun mak abah saya yang bawa dua-dua keluar makan. Semoga ada jodoh hendakNya mereka berdua.
Kalau tentang diri saya sendiri, masih sama. Yang semakin bertambah adalah berat badan ^_^ Sampaikan doc minta saya cuba sedaya upaya turunkan berat badan. Sedang diusahakan walau bebannya terasa begitu berat huh..Semenjak berat badan semakin bertambah ni, saya perasan satu perkara. Saya paling tidak suka bila rakan atau saudara mara tegur "sihat sekarang?" Bukanlah menafikan saiz badan yang semakin bertambah, cuma saya rasa kadang kala sesetengah soalan cuma perlu ditanya dalam hati. Saya sendiri personally tak pernah tanya atau sebut hal demikian pada sesiapa. Dan saya tertanya-tanya, agaknya apa ye jawapan yang didambakan oleh mereka yang bertanya soalan sedemikian. Atau mereka sekadar mencari topik untuk berbual, maklum lah jarang-jarang jumpa. Kalau ya itu tujuannya, tanyalah tentang cuaca ka? kerja mana sekarang ni ka? kan? Saya sendiri ada beberapa set jawapan yang biasa saya gunakan. Tak tahulah memenuhi kehendak yang bertanya itu atau tidak. Yang biasa digunakan;
"Saja nak bagi balance dengan husband, nanti naik motosikal cunggit(bahasa utara) pulak"; atau
"Husband saya pandai bela bini, nak buat macam mana.."; atau
"Memang saya senang hati sekarang.."; atau
Senyum, tak perlu kata apa-apa (masuk telinga kiri keluar telinga kanan).
Sebab saya rasa orang yang bertanya soalan macam ini adalah insensitive. Saya tak rasa ada seorang pun yang berat badan berlebihan ni suka dengan berat badan macam tu. Tanyalah siapa juga, biarpun yang kurus kering takdak lemak pun masih akan tak suka dengan pertambahan berat badan. Kenapa perlu tanya?????? Nak menambah luka hatinya kah?
Dah macam luahan perasaan plak...
Itu je (tak jumpa ayat penutup yang sesuai bagi entry ni..).
1 comment:
mmg susah nk puaskan hati semua org.. cukup la kalau dpt puaskan hati sndiri dlu.. itu lebih berbaloi daripada makan hati brulam jantung.. ^^
selamat bertunang jugak untuk abh john.. 31.8 sama date ngn tarikh nikah wany last year.. hehe..
Post a Comment